Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006, masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua , “ jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang ”.
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya akibat suhu meningkat. Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan, sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula. Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya, pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya, sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis kata orang tua-tua, “sebelum nasi menjadi bubur”. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar. Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada berbunyi, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.
Dalam dunia yang terbentang luas ini, terdapat pelbagai negara. Di setiap negara pula, mereka memiliki pelbagai bahasa bahasa. Antara bahasa yang telah diiktiraf sebagai bahasa dunia termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Perancis, bahasa Cina dan bahasa Rusia. Bahasa ini diterima sebagai bahasa dunia kerana bahasa tersebut mempunyai penutur yang banyak dan pelbagai ilmu yang telah dibukukan dalam bahasa tersebut. Sebagai rakyat Malaysia, kita digalakkan untuk menguasai bahasa tersebut. Terdapat banyak kepentingan yang akan kita peroleh, jika kita menguasai bahasa asing.
Satu daripada kepentingan bahasa asing ialah kita dapat menjalinkan hubungan dua hala dengan lebih mudah dan berkesan dengan negara lain. Sebagai negara yang bebas dan berkecuali, negara kita banyak menjalinkan hubungan dua hala dengan negara lain seperti hubungan perdagangan, politik dan keselamatan. Dalam hal ini, rakyat negara kita terlibat dalam banyak perkara di negara yang berkenaan. Dalam kebanyakan hubungan ini, kita perlu menjalinkan hubungan dua hala dengan negara-negara maju di dunia dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, apabila kita menguasai bahasa Inggeris, kita telah berjaya menjalinkan hubungan dua hala dengan negara Amerika Syarikat dan Britain yang mempunyai pasaran ekonomi yang luas. Hal ini menguntungkan negara kita dengan mengembangkan dan meluaskan pasaran ekonomi yang sedia ada. Oleh itu, penguasaan dalam bahasa asing memudahkan kita memajukan ekonomi negara dengan menjalinkan hubungan dengan negara lain.
Selain itu, penguasaan dalam bahasa asing juga dapat menambah ilmu pengetahuan seseorang. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat pelbagai ilmu yang bermanfaat telah dibukukan dan diterbitkan dalam pelbagai bahasa asing. Melalui penguasaan bahasa asing, kita dapat membaca buku karya penulis-penulis besar di dunia. Sebagai contohnya, hasil-hasil karya penulis agung Eropah seperti karya Tome Pires yang ditulis dalam bahasa Yunani dan sebagainya dapat dikaji dan dimanfaatkan sepenuhnya jika kita menguasai bahasa tersebut. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada menjadi seperti katak di bawah tempurung dengan tidak mengetahui hal semasa dan ilmu sedia ada. Pepatah Melayu mengatakan bahawa membaca jambatan ilmu. Semakin banyak bahan yang dibaca, semakin banyak ilmu yang diperoleh. Oleh itu, kita akan dapat mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan yang ada di seluruh dunia dengan menguasai bahasa asing.
Bukan itu sahaja, perkongsian teknologi antara negara maju dengan negara membangun juga memerlukan pengetahuan dalam bahasa asing. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan negara maju menggunakan bahasa ibunda mereka dalam teknologi yang dihasilkan. Untuk mempelajari teknologi yang dicipta oleh mereka, kita harus menguasai bahasa tersebut. Sebagai contohnya, angkasawan Malaysia yang pertama telah dihantar ke Rusia dan mereka dikehendaki mempelajari dan menguasai bahasa Rusia dalam persediaan mereka ke angkasa. Usaha ini perlu dilakukan kerana kelengkapan yang digunakan semuanya menggunakan bahasa tersebut. Oleh itu, untuk mengelakkan sebarang kesulitan, kita perlulah menguasai bahasa asing untuk memudahkan sebarang urusan.
Seterusnya, pemindahan ilmu akan menjadi lebih lancar jika kita menguasai bahasa asing. Apabila kita belajar di luar negara, terdapat pelbagai ilmu yang akan diperoleh. Penguasaan ilmu akan menjadi sia-sia jika kita tidak memindahkannya dalam bahasa sendiri untuk disebarkan. Namun, apabila kita menguasai bahasa asing, kita dapat memindahkan ilmu itu kepada rakyat di negara kita dengan mudah menggunakan bahasa kita sendiri. Sebagai contohnya, rakyat Jepun memanfaatkan ilmu yang diperoleh dari negara lain dengan menterjemahkankan ilmu dan teknologinya dalam bahasa mereka. Hal ini menyebabkan rakyat Jepun memperoleh ilmu baharu dari negara lain. Tegasnya, melalui penguasaan bahasa asing yang baik, kita dapat memindahkan ilmu dari bahasa asing kepada bahasa kita.
Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa asing sangat penting untuk berhubung dengan masyarakat luar. Walaupun bahasa Melayu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, namun bahasa asing amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan bahasa asing membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara langsungnya mempercepat pembangunan negara. Oleh itu, bahasa asing merupakan bahasa yang amat penting untuk menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi dan bidang perniagaan.